Bisnes SAKIT walaupun ada jualan: Ini cara untuk periksa…

Bayangkan ada satu bisnes restoran ni…

Mampu buat jualan.

Ada duit nak bayar gaji pekerja, nak bayar bil, nak bayar sewa kedai, nak beli barang mentah.

Tapi…

Sebenarnya bisnes ni tengah ‘sakit’.

Lagi parah, bisnes ni bila-bila je boleh mati disebabkan sakit dah terlampau kritikal.

Haa pelik kan? 😱

Dah ada jualan, dah boleh tampung kos operasi takkan bisnes masih sakit?

Apa petanda bisnes yang sihat?

Dalam bisnes, mengurus duit melibatkan dua proses:

i. Mendapatkan duit = duit masuk

ii. Membelanjakan duit = duit keluar

Kedua-duanya saling berkait & perlukan disiplin yang betul supaya bisnes boleh terus bergerak.

Takde dua aktiviti ni, bisnes akan berhenti atau mati!

Dah ada keupayaan untuk menjual, dah pandai urus belanja duit, wajib ada proses yang ketiga: kemampuan untuk simpan duit.

Bisnes yang sihat:
✅ Mampu simpan duit
✅ Duit simpanan bertambah setiap bulan

Nak menjual mungkin senang, nak berbelanja lagi senang.

Tapi nak menyimpan ni yang paling susah, paling banyak bisnes gagal nak buat.

Berapa duit masuk, itulah duit keluar. Atau mungkin, duit keluar lagi banyak! Ini bisnes yang tak sihat.

Ini contoh sebuah bisnes uruskan duit dengan betul

Kita namakan bisnes sebagai Restoran A yang dimiliki oleh Encik B.

Masa mula-mula buka bisnes, Encik B fokus untuk buat jualan dahulu.

Takde jualan, takde duit masuk.

Bermula dengan 1-2 menu yang simple untuk tarik pelanggan datang ke restoran, bisnes ini berjaya buat jualan yang agak baik.

Dah ada jualan, Encik B usahakan untuk betulkan harga dan tambah pakej menu untuk besarkan lagi jualan.

Encik B pastikan setiap harga jualan ada margin yang berbaloi untuk dapat untung. Ada target jualan yang nak dicapai supaya mampu tampung kos operasi serta ada lebihan untuk menyimpan.

Penetapan harga dengan margin untung berbaloi + target jualan = RM (untung + simpanan)

Duit jualan yang dapat, lepas tolak kos pun masih ada lebihan. Yang boleh disimpan.

Encik B usahakan sampai proses yang ketiga: mampu untuk menyimpan.

Katakanlah kos operasi bisnes Restoran A adalah RM30,000 sebulan, Encik B letak target jualan RM50,000.

Ada margin keuntungan sebanyak RM20,000.

Dengan untung yang ada, Encik B mampu untuk menyimpan RM5,000 setiap bulan. Baki RM15,000 digunakan untuk belanja hal-hal lain.

Dari RM5,000, simpanan akan bertambah menjadi RM10,000 bulan berikutnya.

Setahun simpanan akan menjadi RM60,000 hasil dari jualan dari 1 premis Restoran A.

Mampu buka cawangan baru untuk tambah lagi simpanan

Dengan simpanan yang ada, Encik B mampu untuk buka cawangan Restoran A yang baru.

Katakanlah selepas 3 tahun, simpanan terkumpul mencecah RM180,000.

Cukup modal untuk buka premis baru.

Encik B tetap usaha dapatkan jualan berbaloi untuk dapat untung & ada bahagian yang boleh disimpan.

1 cawangan menghasilkan simpanan RM5,000 sebulan.

2 cawangan boleh menyimpan sebanyak RM10,000 sebulan.

Dalam setahun, total simpanan akan jadi: RM10,000 sebulan x 12 bulan = RM120,000.

Sudah naik sekali ganda.

Dengan simpanan banyak, mampu tambah lagi kuasa menyimpan!

Nak buka satu restoran perlukan modal yang besar, nak buka banyak restoran lagi banyaklah modal nak kena ada.

Tabiat mengurus & mengembangkan duit adalah super power yang Encik B ada sehingga sekarang Restoran A dah mempunyai lebih dari 10 cawangan seluruh negara.

Matlamat Encik B mudah je, setiap cawangan mesti mampu untuk menyimpang paling minimum RM5,000 sebulan.

10 cawangan, dah ada RM50,000 simpanan sebulan.

Ini petanda bisnes Encik B sedang sihat walafiat!

Bisnes yang paling sihat:
✅ Bisnes yang ada kemampuan untuk  menyimpan
✅ Dengan simpanan tadi, tambah lagi paip duit untuk tambah kemampuan menyimpan!

Kenapa bisnes mesti mampu menyimpan?

Ok dah faham contoh bisnes Encik B tadi kan?

Segala aktiviti bisnes berjalan dengan lancar disebabkan bisnes ada duit.

Duit = Minyak untuk gerakkan bisnes.

Tanpa duit, bisnes mati.

Jadi apa manfaat bila kita dapat menyimpan duit bisnes?

1. Tampung operasi harian

Ini paling asas.

Apa saja kos operasi harian seperti overhead gaji, bil utiliti, bayaran kepada pembekal. Kalau tak bayar, akan ada masalah kepada operasi bisnes.  Akan sangkut!

Contoh:
Tak bayar bil internet, dah tentu talian internet boleh kena potong.

Operasi bisnes akan terganggu, lebih-lebih lagi segala urusan bisnes zaman sekarang banyak melibatkan online.

Bisnes akan sangkut & mati kalau:
🔥 Kehabisan duit untuk bayar operasi harian

2. Tabung kecemasan

Bisnes tak sentiasa indah.

Akan ada masa-masa jualan jatuh.

Paling kita takut dalam bisnes adalah situasi kecemasan yang tak dijangka berlaku.

Contoh:
Semasa kemuncak penularan wabak Covid-19, berapa banyak bisnes gulung tikar? Tak boleh nak bertahan sebab dah takde duit untuk tampung kos operasi. 

Kedai gunting rambut tak boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam tempoh ni, takde langsung jualan berlaku tapi tetap ada kos yang perlu dibayar. Gaji pekerja, sewa premis, bil api air internet tetap kena bayar.

Apa jadi kalau takde simpanan? Bungkus la jawabnya.

Apa pun yang terjadi, bisnes tetap ada kos yang perlu dibayar untuk terus hidup.

WALAUPUN di waktu bisnes itu tidak menjana jualan!

3. Peluang untuk kembangkan bisnes

Dah ada simpanan, sepatutnya kita ada masa nak fikir untuk cari peluang kembangkan lagi bisnes.

Contoh:
Ada pemilik bisnes yang nak lepaskan bisnes restoran dengan harga RM100,000 siap dengan barang kelengkapan. Lokasi pula strategik senang pelanggan nak datang, dekat dengan kawasan perumahan, parking pun senang.

Kalau nak renovate dah tak banyak kerja, paling-paling pun kos dalam RM50,000. Jadi jumlah kos mungkin dalam RM150,000 sahaja untuk buka bisnes ni.

Ikutkan kira-kira asal, nak buka restoran baru, paling tidak pun kena keluar modal dalam RM250,000.

Dengan ada simpanan, mampu bertindak cepat bila ada peluang. Dah jimat RM100,000.

Apa jadi kalau bisnes kita masih takde simpanan?

Terlepas peluang nak buka lagi satu cawangan bisnes.

Terlepas satu lagi peluang nak tambah lagi simpanan untuk dilipat-kali gandakan.

Rugi!

Dengan mempunyai simpanan:
✅ Kita mampu bertindak cepat untuk peluang yang datang depan mata
✅ Dapat merebut tawaran yang lebih murah dari harga pasaran biasa

4. Simpanan boleh digandakan

Dah ada simpanan

Dah belanja macam-macam untuk majukan bisnes.

Tapi masih ada lagi simpanan tak terpakai.

Sakit je hati tengok duit tak bergerak, tak dibelanjakan ke mana-mana untuk menambah lagi kemampuan menyimpan.

Daripada guna untuk belanja yang tak perlu, lagi baik kita gandakan.

Contoh:
Simpan di simpanan tetap (fixed deposit) di bank untuk dapatkan peratusan untung yang tinggi.

Simpanan tetap bermaksud, sejumlah duit yang disimpan dan tak dikeluarkan untuk satu tempoh masa.

Ini sejenis pelaburan berisiko rendah dengan kadar untung yang tak berapa tinggi tapi berbaloi.

Lagi tinggi jumlah dan lagi lama tempoh kita simpan, lagi tinggi kadar peratusan keuntungan yang kita akan dapat.

Katakan kita nak simpan RM10,000 sebagai simpanan tetap selama 2 tahun.

Kadar peratusan untung yang dijanjikan oleh CIMB Islamic adalah sebanyak sebanyak 1.85% setahun.

RM10,0000 X 1.85% p.a X 2 tahun = RM185

Jumlah keuntungan terkumpul selepas 2 tahun adalah RM370

Dari RM10,000, selepas 2 tahun jumlah simpanan dah jadi RM10,370.

Pulangan seperti ini, walaupun sikit… mampu bantu melindungi simpanan kita dari inflasi.

Nilai RM10,000 sekarang tak sama dengan RM10,000 pada 2 tahun akan datang.

Simpanan tetap ialah salah satu cara untuk kita atasi ‘kerugian’ nilai macam ni.

Berapa jumlah simpanan yang bisnes mesti ada?

Kebiasaannya bisnes yang ada masalah hanya ada masa 3 bulan untuk bertindak sama ada nak bangkit semula atau nak tutup terus.

Jadi boleh dikatakan…

3 bulan simpanan ialah jumlah paling miminum untuk selamat.

Maksudnya, kalau kos operasi bisnes sebulan RM20,000, 3 bulan simpanan adalah RM60,000.

Apa pun yang jadi dalam tempoh 3 bulan ni, segala overhead tetap boleh dibayar.

Tapi yang pastinya, paling selamat adalah simpan je seberapa banyak yang boleh.

Lagi besar peluang untuk kita buat macam-macam supaya bisnes boleh terus dikembangkan.

Bisnes sihat: mampu menyimpan & tambah simpanan

Ini bukan pilihan.

Ini kewajipan untuk bawa bisnes bergerak ke tahap lagi baik dari sebelumnya.

Bisnes kena pandai buat jualan.

Dari jualan, mesti ada untung.

Dari duit lebihan untung, mesti urus dengan baik & disimpan.

Bisnes kena sentiasa ada keupayaan untuk dikembangkan supaya ada kemampuan untuk menambah lagi simpanan.

Inilah ekosistem bisnes yang sihat.


Semoga konten ini bermanfaat. Kongsikan dengan kawan-kawan.

Nantikan artikel seterusnya…

Tanya soalan / tulis komen di sini...